Ramainya orang cerdik tapi malas...tapi ramai juga orang kurang cerdik tapi rajin..namun amat sedikit orang yang cerdik dan rajin..
Sangat beruntung bagi sesiapa yang menyedari perkara ini dan mengambil 'ibrah daripadanya..
Aku lebih memandang yang rajin itu adalah kunci kejayaan, Tapi tanpa kebijaksanaan kejayaan takkan dapat dikecapi, Lalu bagaimana??
Seekor ibu Helang selamat mengeluarkan sebiji telur dalam sarangnya yang tinggi di atas pokok. Usai, ia terbang ke udara meninggalkan telur yang baru ditetasnya untuk mencari akar-akar pokok bagi membaluti telur itu. Malang tak berbau, ibu Helang ditembak si Pemburu Haram lalu jatuh menyembah bumi.
Hendak diceritakan, telur Helang tadi dicuri seekor helang yang lain. Namun, ketika hendak mendarat di atas tanah, telur tersebut jatuh bergolek dan lesap di celah-celah semak di belantara. Seekor ibu ayam hutan yang sedang mengais-ngais tanah mencari cacing terperanjat apabila sebiji telur terjatuh di atas rimbunan daun kering betul-betul di hadapannya. Telur itu masih elok dan tidak pecah. Ibu ayam tersebut lantas mnyepak-nyepak telur tersebut dengan berhati-hati pulang ke rumahnya. Ia langsung menjaga telur itu dengan baik dan selamat.
Setelah dua minggu, akhirnya telur itu menetas lalu keluarlah seekor anak Helang yang comel. Secara fitrah, wajah pertama yang dilihatnya itu dianggap sebagai ibu. Ibu ayam amat gembira dan menyuapkan anak Helang cacing-cacing. Ia menjaganya dengan begitu baik.
Hari berganti hari, minggu berganti minggu. Anak Helang terasa ingin mencuba untuk terbang. Ia pernah melihat kawanan helang yang terbang tingggi di udara dan amat cemburu dengan mereka sedangkan ia tidak pernah tahu bahawa dirinya juga adalah seekor Helang! Ia mengadu kepada "ibu"nya dan menyatakan hasrat untuk terbang tinggi seperti helang. Namun, ibu ayam menegah dan berkata;
" Kamu tu anak ayam, mana boleh terbang tinggi ! "
Namun, ia tidak putus semangat. Setiap hari, ia memanjat suatu batu yang agak besar dan cuba untuk terbang. Berkali-kali ia terjatuh. Namun, tetap berusaha tanpa mengenal sakitnya terjelepok di atas tanah. Setelah beberapa lama, akhirnya ia mampu untuk terbang. Pada awalnya, cuma setinggi pohon kecil. Namun, lama kelamaan ia sudah mampu menjangkau dahan pohon yang tinggi. Dan sudah pastinya anak Helang yang dibela oleh ibu ayam hutan dan tidak tahu bahawa dirinya adalah seekor Helang itu kini sudah mampu terbang menggapai awan sambil berlegar-legar di udara dalam jangka masa yang sangat lama. Namun, malangnya,ia masih belum menyedari bahawa ia sebenarnya adalah seekor Helang yang sudah dewasa !
Apa motifnya cerita di atas??- Semangat yang tinggi dan azam yang cekal ditambah dengan usaha yang gigih mampu menghasilkan natijah yang luar biasa.- Setiap makhluk mempunyai kebolehan tersendiri yang kadang-kadang dia sendiri tidak menyedarinya
- Rajin berusaha tanpa mengenal erti penat adalah lebih baik daripada tidak berbuat apa-apa.
Nah, sebenarnya ingin dinyatakan bahawasanya " Rajin itu membezakan antara yang cerdik dan kurang cerdik. Ia mampu mengangkat darjat orang yang kurang cerdik menjadi lebih tinggi daripada orang yang cerdik tapi malas."
Para hukama' pernah menyebut: " Seseorang itu tidak akan sampai kepada darjat kemuliaan sehinggalah ia merasakan betapa lazatnya kesabaran"
No comments:
Post a Comment